Infomasi

Sunday, October 4, 2009

Panduan untuk pelancung:

Dari Kuala Lumpur anda boleh memandu melalui lebuhraya PLUS ke Ipoh dan seterusnya ke Lumut. Terdapat perkhidmatan bas ekspres KL-Lumut-KL sepanjang hari. Dari Lumut anda akan menaiki feri ke Jeti Pangkor. Dari jeti anda akan dibawa ke resort pilihan anda sama ada di Pasir Bogak atau di Teluk Nipah dengan teksi (van). Anda juga boleh menaiki penerbangan Berjaya Air terus dari Kuala Lumpur untuk mendarat di Teluk Dalam.

Eko-Pelancongan & Agro-Pelancongan

Pulau Pangkor masyhur dengan industri perikanan yang telah diusahakan semenjak dahulu lagi. Pangkor membekalkan ikan segar yang berkualiti ke pasaran Kuala Lumpur dan Singapura. Selain itu hasil laut seperti bahan makanan proses dinginbeku, ikan kering, ikan bilis dan makanan ringan (satay fish) turut di pasarkan di bandar-bandar lain di Malaysia.

Jika anda berkunjung ke Pulau Pangkor, anda akan berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana hasil laut diproses dan anda boleh membeli barang-barang tersebut dengan harga yang istimewa.

Jungle trekking ialah salah satu acara yang menjadi kemestian bagi pencinta alam

Satu lagi aspek pelancongan yang kini kian popular di Pulau Pangkor ialah eko-pelancongan. Pulau Pangkor memiliki kekayaan alam semulajadi, bukan sekadar hutannya yang kaya dengan flora dan fauna serta bentuk muka bumi yang mencabar peminat aktiviti luar, malah juga kekayaan dasar laut iaitu karangan laut serta hidupan laut yang eksotik dan unik.

Tempat yang sering menjadi tumpuan remaja menjalankan aktiviti perkhemahan ialah Teluk Segadas. Di Teluk Nipah terdapat resort penginapan dan tapak-tapak perkhemahan yang menyediakan kemudahan-kemudahan asas dengan kadar sewa yang berpatutan.